Sejarah Ringkas 

Maahad Muhammadi Tumpat merupakan salah sebuah sekolah Menengah Agama (Arab) di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK). Pada asalnya sekolah ini terletak di Kampong Dalam Rhu, Tumpat . Ditubuhkan pada awal Julai 1963 dengan menumpang sementara di rumah Encik Wan Ibrahim bin Wan Mamat . Dengan jumlah pelajar seramai 33 orang. Pada peringkat awal sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Arab Bahriah. Guru Besarnya yang pertama ialah Ustaz Hassan bin Musa.  

 

Pada tahun 1964, Sekolah ini dipindahkan ke sebuah bangunan baru yang disewa khas di kampung tersebut. Apabila jumlah pelajar kian meningkat, sebuah bangunan baru telah dibina menjelang tahun 1965. Tapaknya telah disediakan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat sebagai milik sementara. Ia telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan, Dato' Asri bin Haji Muda.

 

Kemudian, Sekolah Menengah Arab Bahriah telah bertukar kepada Sekolah Menengah Agama (Arab) Tumpat (SMAT) yang terletak di sebidang tanah seluas 5.4 hektar, ditepi jalan besar Kota Bharu - Tumpat, di Kampong Sedar , iaitu kira-kira 3 km dari bandar Tumpat. Selain dari di Kampong Sedar, satu lagi cawangan terletak di Kampong Berangan, Tumpat. Dibina di atas sebidang tanah seluas 1495 ekar. Sekolah ini dahulunya dikenali dengan nama Sekolah Menengah Arab Bustanul Ariffin. Sekolah ini akhirnya telah ditutup dan dijadikan sebagai Pusat Kegiatan Pelajar dan Guru.

 

Pada 18/3/1999 Sekolah Menengah Agama (Arab) Tumpat telah ditukar nama dengan rasminya menjadi Maahad Muhammadi Tumpat dan telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, bersempena dengan Majllis Perasmian Bangunan Baru.

Kini, Pengajian di Sekolah ini bermula dari tingkatan 1 (Saf Awal sehingga ke Tingkatan 6 Atas. Sekolah ini mempunyai 44 orang guru, dan 6 orang kakitangan sokongan. Setakat laman ini dibina, jumlah pelajar seramai 756 orang dengan 22 bilik darjah.

 

Sekapur Sirih Dari Pengetua | Dari Meja Editor | Falsafah

Lencana | Matlamat | Pentadbiran | Hal Ehwal Pelajar

Kurikulum | Kokurikulum | Peperiksaan | Kakitangan Akademik

Kakitangan Sokongan | Album | PIBG | Alumni